Tarikh: 30 Januari 2026 (Jumaat)
Masa: 9.30 pagi - 12.00 tengah hari
Tempat: Cochlear Malaysia, Bangsar SouthÂ
Aktiviti PPIK pada tahun 2026 telah dimulakan dengan aktiviti lawatan ke Cochlear Malaysia. Cochlear merupakan antara tiga jenama implan koklea (IK) utama yang digunakan di Malaysia dan menjadi jenama IK pertama yang bertapak di negara ini pada tahun 1995. Kini, Cochlear mempunyai Cochlear Care Centre, pusat pembuatan pemproses bunyi serta pusat servis dan penyelenggaraan yang terletak di Bangsar South, Kuala Lumpur.
Lawatan ini disertai oleh tujuh orang ahli PPIK dan telah disambut oleh Pengurus Cochlear Malaysia yang baharu, Puan Nicole Ong dan pasukannya. Beliau berkongsi secara ringkas mengenai sejarah Cochlear serta perkembangan organisasi tersebut di Malaysia. Seterusnya, Pangarah Sokongan Pembuatan (Director of Manufacturing Support), Encik Yeoh Teik San membawa para peserta melawat pusat pembuatan pemproses bunyi serta pusat servis dan penyelenggaraan. Lawatan ini membuka mata para peserta terhadap usaha dan kepakaran yang diperlukan dalam menghasilkan peranti yang menjadi sandaran pengguna implan koklea dalam kehidupan seharian, sekali gus meningkatkan penghargaan terhadap teknologi ini.
Selain itu, Dr. Basyaritul Fathi Othman, Pengurus Habilitasi (Habilitation Manager) Cochlear bagi Asia Tenggara, Sri Lanka dan Pakistan turut berkongsi tentang kepentingan serta teknik rehabilitasi auditori. Beliau turut menjelaskan beberapa salah faham yang sering timbul berkaitan rehabilitasi auditori serta komponen penting yang menyumbang kepada keberkesanan proses rehabilitasi tersebut.
Walaupun lawatan ini singkat, ia amat bermakna dan memberi manfaat kepada para peserta. PPIK amat menghargai peluang untuk melihat dengan lebih dekat proses di sebalik pembangunan peranti implan koklea serta berkenalan dengan pasukan yang memainkan peranan penting dalam teknologi yang banyak membantu komuniti pengguna implan koklea. PPIK berharap lebih banyak peluang bekerjasama bersama Cochlear Malaysia pada masa hadapan demi manfaat komuniti pengguna implan koklea.
Puan Nicole Ong, Pengurus Cochlear Malaysia, menyambut kedatangan ahli-ahli PPIK
Encik Yeoh, Pengarah Sokongan Pembuatan Cochlear Malaysia, telah memberi penerangan operasi berhubung proses pembuatan, servis dan penyelenggaraan implan koklea keluaran Cochlear
Dr. Basha, Pengurus Habilitasi (Habilitation Manager) Cochlear bagi Asia Tenggara, Sri Lanka dan Pakistan, berkongsi tentang kepentingan dan teknik rehabilitasi auditori
Para peserta yang menyertai lawatan ke Cochlear Malaysia
Dr. Irma, pengerusi PPIK, menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Puan Nicole Ong
Diharap sesi lawatan ini menjadi pemula kepada jalinan kerjasama berterusan antara PPIK dan Cochlear Malaysia