Ditubuhkan pada 26 April 2022, PPIK diwujudkan khas untuk menyatukan komuniti pengguna implan koklea warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
Kami percaya bahawa setiap individu berhak untuk berhubung, berkongsi dan hidup dengan penuh keyakinan — walaupun dengan cabaran pendengaran.
1. Suara Komuniti – Menjadi saluran utama untuk mengemukakan isu dan keperluan pengguna implan koklea dewasa di Malaysia.
2. Ilmu & Kesedaran – Merancang dan menganjurkan program seperti kursus, ceramah, seminar, penyelidikan dan penerbitan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang implan koklea sebagai salah satu bentuk alat bantu pendengaran berteknologi tinggi untuk OKU pendengaran.
3. Maklumat Terkini – Menyampaikan berita dan perkembangan terkini tentang teknologi, perkhidmatan dan sokongan berkaitan implan koklea kepada ahli-ahli.
Pengguna implan koklea terdiri daripada dua kategori ketidakupayaan pendengaran iaitu:
i) Mengalami ketidakupayaan pendengaran sejak lahir (congenital hearing loss).
ii) Mengalami ketidakupayaan pendengaran selepas lahir (acquired hearing loss). Kategori ini biasanya sudah mempunyai perkembangan bahasa sebelum mengalami kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh beberapa faktor seperti kemalangan jalan raya, penyakit (seperti jangkitan pada telinga dan demam panas), faktor ubat dan keadaan persekitaran.
Memakai implan koklea bukan bermakna pendengaran kembali normal. Sebaliknya, ia adalah alat yang membantu menguatkan keupayaan mendengar, memberi peluang kepada pengguna untuk terus berkomunikasi, bekerja, belajar dan menikmati kehidupan seperti insan lain.