Temubual dan rencana oleh Seksyen Media Dan Kandungan Digital PPIK.
Setiap kanak-kanak adalah unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Hal ini memerlukan usaha bersepadu untuk memastikan mereka membesar dengan baik dan
dapat merealisasikan potensi diri sepenuhnya.
Bagi Nicole Kai Xin Pathom, yang kini mengusahakan perniagaan pastri sendiri pada usia 26 tahun, perjalanan hidupnya dibentuk oleh ketabahan serta sokongan seorang ibu yang kekal kuat menghadapi pelbagai cabaran.
Ketika berusia setahun setengah, ibu Kai Xin iaitu Puan Shirley Yeow, mula menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya kerana pada waktu kanak-kanak lain seusianya mula bertutur, Kai Xin masih belum mampu menyebut sepatah perkataan walaupun “Ma”.
Bimbang dengan keadaan tersebut, Puan Yeow membawa Kai Xin untuk pemeriksaan. Ketika itulah Kai Xin disahkan mengalami kehilangan pendengaran yang teruk dan dirujuk kepada Prof. Dr. Asma Abdullah, pakar ENT (Ear, Nose & Throat) di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang kini dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Kai Xin bersama Prof. Dr. Asma Abdullah (kedua dari kanan) yang telah menjalankan pembedahan implan koklea pertamanya
Pada peringkat awal diagnos, Kai Xin memakai alat bantuan pendengaran selama enam bulan. Dalam tempoh tersebut, beliau menunjukkan sedikit perkembangan iaitu mula mengeluarkan bunyi namun perkembangan pertuturan masih sangat terhad.
Apabila Kai Xin berusia dua setengah tahun, Prof. Asma mencadangkan pembedahan implan koklea dilakukan bagi membantu meningkatkan keupayaan pendengaran.. Cadangan ini membawa harapan, namun pada masa yang sama merupakan satu beban kewangan yang besar. Kos pembedahan sebanyak RM80,000 jauh melebihi kemampuan Puan Yeow yang hanya bergantung pendapatan daripada gerai jualan makanan yang diusahakannya.
Puan Yeow bernasib baik kerana ramai yang prihatin terhadap bebanan kos pembedahan tersebut. Beliau menerima sumbangan daripada ramai orang dan dana yang diperlukan akhirnya berjaya dikumpulkan. Ketika berusia tiga setengah tahun, Kai Xin menjalani pembedahan implan koklea di telinga kanan pada Julai 2003.
Artikel mengenai kutipan dana bagi menampung kos implan koklea Kai Xin
Puan Yeow berharap penggunaan implan tersebut dapat membantu perkembangan pertuturan Kai Xin menjadi lebih lancar dan baik namun yang sebaliknya berlaku. Perkembangan pertuturan Kai Xin sangat perlahan di mana pada usia lima tahun beliau masih sukar menyebut huruf dengan jelas. Bagi ibunya, ini merupakan satu tempoh yang amat mencabar kerana segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan belum menunjukkan hasil seperti yang diharapkan.
Pada masa yang sama, pihak tadika Kai Xin hampir meminta beliau berhenti bersekolah kerana perkembangan pembelajarannya yang kurang memuaskan. Namun begitu, selepas perbincangan dilakukan bersama pengetua tadika, satu persetujuan dicapai bagi membolehkan Kai Xin terus belajar di situ. Puan Yeow turut mendaftarkan Kai Xin ke pusat tuisyen untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Cina, dengan harapan beliau dapat memasuki sekolah rendah aliran Cina.
Kai Xin akhirnya berjaya memasuki sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC). Pada peringkat awal guru kelasnya mencadangkan agar Puan Yeow menghantar Kai Xin ke sekolah pendidikan khas namun begitu, Puan Yeow tetap teguh dengan pendiriannya untuk membolehkan Kai Xin belajar di SRJKC. Beliau mahu Kai Xin belajar, berkomunikasi dan menjalani kehidupan bersama rakan sebaya dalam persekitaran arus perdana.
Puan Yeow turut mencari cara untuk membantu Kai Xin membina keyakinan diri dan mengembangkan kemahiran mendengar.
Seawal Darjah 2 Kai Xin telah dimasukkan ke dalam kelas gimnastik berirama oleh ibunya. Beliau berjaya mengasah kemahiran mendengar melalui pergerakan gimnastik dan muzik serta menemui cara untuk mengekspresikan diri.
Penglibatan dalam sukan gimnastik berirama membantu memupuk keyakinan diri Kai Xin
Puan Yeow sentiasa menemani Kai Xin sepanjang penglibatannya dalam sukan gimnastik berirama
Kai Xin meraih pelbagai pencapaian sepanjang penglibatannya dalam sukan gimnastik berirama
Seiring masa, keyakinan diri Kai Xin semakin meningkat. Walaupun menghadapi cabaran pendengaran, beliau menunjukkan prestasi yang baik dan terpilih menyertai pasukan gimnastik berirama sekolah pada Darjah 3. Beliau seterusnya mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan, dan semasa Darjah 5, berjaya menyertai pasukan gimrama mewakili Kuala Lumpur.
Kai Xin terus aktif bertanding di peringkat negeri sehingga berusia 15 tahun, satu pencapaian yang mencerminkan bukan sahaja bakat, tetapi juga ketabahan.
Keyakinan diri dan kemahiran mendengar Kai Xin juga meningkat kerana beliau telah menerima implan koklea kedua di telinga kiri pada tahun 2009 ketika berusia sembilan tahun. Pembedahan ini dijalankan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Lokman Saim, manakala kos pembedahan ditanggung melalui tajaan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan daripada saudara mara.
Kai Xin selepas pembedahan kedua implan koklea pada tahun 2009
Kai Xin bersama Prof. Emeritus Dato’ Dr. Lokman Saim yang telah menjalankan pembedahan implan koklea keduanya
Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kai Xin meneruskan pengajian dalam bidang pastri di Kuala Lumpur. Sebagai sebahagian daripada program tersebut, beliau menjalani latihan industri selama enam bulan di sebuah kedai bakeri. Pengalaman ini membawa kepada peluang pekerjaan apabila beliau ditawarkan jawatan sepenuh masa di tempat yang sama.
Kai Xin bersama Puan Yeow di majlis graduasi sekolah menengah
Alam pekerjaan memperkenalkan cabaran baharu dalam kehidupan Kai Xin. Tugas harian yang memerlukan kekuatan fizikal memberi kesan kepada keadaan skoliosis yang dialaminya sejak lahir. Skoliosis ialah keadaan tulang belakang yang melengkung secara tidak normal, yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan postur, kesakitan otot, serta tekanan pada bahagian tertentu badan. Keadaan ini menyebabkan beliau kerap mengalami kesakitan pada seluruh badan dan berisiko tinggi mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas.
Suasana kerja yang sibuk dan pantas, ditambah pula dengan pemakaian pelitup muka, menjadikan komunikasi lebih mencabar buat Kai Xin. Ada kalanya beliau tidak menyedari panggilan rakan sekerja, lalu dibiarkan begitu sahaja tanpa disengajakan. Keadaan ini akhirnya menimbulkan salah faham, apabila ada yang menyangka beliau sengaja tidak mengendahkan mereka.
Cabaran yang berterusan akhirnya memberi kesan kepada kesejahteraan diri beliau. Kekangan kesihatan serta persekitaran kerja yang kurang kondusif mendorong Kai Xin untuk membuat keputusan berhenti demi menjaga keadaan dirinya.
Selepas beberapa kali gagal mendapatkan pekerjaan lain, Kai Xin mengambil keputusan untuk mencipta peluang kerjaya secara kendiri. Dengan dorongan daripada ibunya, beliau memulakan perniagaan bakeri secara kecil-kecilan dari rumah.
Kini, beliau mengusahakan Honey Haven Bakery Studio, sebuah perniagaan bakeri dari rumah yang semakin berkembang. Kai Xin menerima banyak tempahan serta menyertai pelbagai pameran bagi memperkenalkan produk bakeri yang diusahakannya. Melalui usaha ini, beliau mula membina rangkaian pelanggan dan mengukuhkan reputasi perniagaan.
Gerai Honey Haven Bakery di salah satu acara yang berlangsung pada awal tahun ini
Perniagaan tersebut masih berada pada peringkat awal. Walau begitu, usaha ini amat bermakna kerana memberi ruang kepada Kai Xin untuk membina kehidupan dan kerjaya mengikut acuan serta keupayaannya sendiri.
Perjalanan Kai Xin mengingatkan kita bahawa implan koklea bukanlah penyelesaian segera kepada masalah pendengaran. Pengorbanan masa, kesabaran dan sokongan berterusan ahli keluarga merupakan pemangkin dalam menentukan kemajuan tahap pendengaran selepas memakai implan koklea.
Peranan ibu bapa dalam kisah ini menunjukkan betapa pentingnya intervensi awal, ketekunan, dan keyakinan terhadap potensi anak walaupun laluan yang dilalui tidak mudah.
Cabaran dalam komunikasi, pendidikan dan pekerjaan merupakan realiti yang sering dihadapi oleh pengguna implan koklea, namun keadaan tersebut tidak membataskan had keupayaan seseorang di mana Kai Xin telah berjaya mengatasi semua cabaran dengan jayanya.
Hari ini, sebagai pengasas perniagaan sendiri, Kai Xin bukan sekadar membina kerjaya, malah sedang membina kehidupan yang berasaskan ketabahan, keazaman dan keberanian yang tersendiri.
Kai Xin membuat persembahan sempena sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia