Temubual dan rencana oleh Seksyen Media Dan Kandungan Digital PPIK.
Berkongsi pengalaman sebagai pengguna implan koklea di acara anjuran Hear Me pada tahun 2019.
Adly Azamin Azman menerima implan koklea pada tahun 2019 ketika berusia 48 tahun. Beliau secara tidak langsung telah merealisasikan satu idea yang pernah dilontarkan secara bersahaja bersama ketua jabatan dua dekad sebelumnya. Pada akhir 1990-an, ketika berkhidmat di Motorola MMU Centre of Learning Design, Cyberjaya sebagai pakar pembelajaran dan pembangunan, beliau pernah bergurau tentang idea menanam cip dalam otak manusia untuk memuat turun ilmu pengetahuan secara terus. Pada masa itu ia kedengaran seperti fiksyen sains semata-mata namun dua puluh tahun kemudian, idea yang dahulu kelihatan mustahil telah menjadi kenyataan buat Adly.
Pada malam menjelang Hari Raya Aidilfitri 2018, saya menyedari telah dijangkiti beguk iaitu penyakit berjangkit yang menyebabkan bengkak pada kelenjar air liur. Keesokan harinya yang juga merupakan hari raya pertama, secara tiba-tiba saya tidak dapat mendengar sebarang bunyi langsung pada telinga kiri. Saya menjadi panik dan mahu segera berjumpa doktor pakar tetapi kerana cuti Hari Raya, saya hanya sempat berjumpa seorang doktor am (GP). Doktor tersebut beranggapan keadaan yang saya alami tidak serius dan akan pulih sendiri. Saya mempercayai nasihat beliau dan sabar menunggu. Beberapa hari berlalu namun keadaan masih sama, telinga kiri saya masih tidak dapat mendengar sebarang bunyi.
Melalui seorang rakan, saya diperkenalkan kepada Profesor Dr. Asma Abdullah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya berjumpa Prof. Asma pada 2 Julai 2018, lebih kurang 2 minggu selepas tidak dapat mendengar dengan sempurna. Beliau secara jujur menyatakan kekecewaannya kerana saya tidak mendapat rawatan yang sepatutnya dalam tempoh 24 jam selepas jangkitan. Jika saya sempat bertemu dengannya ketika itu, besar kemungkinan pendengaran saya dapat dipulihkan. Walaupun begitu, Prof. Asma tetap berusaha memulihkan pendengaran saya termasuk memberikan suntikan steroid tetapi sayangnya, ia sudah terlambat dan tiada apa yang boleh dilakukan. Takdir-Nya telah tertulis bahawa telinga kiri saya sudah tidak mampu berfungsi untuk mendengar.
Bersama Uzair yang telah menjadi salah seorang pendorong untuk menjalani pembedahan implan koklea.
Akur dengan takdir, saya berusaha mencari alternatif yang boleh dilakukan. Apabila saya bertanya kepada Prof. Asma apakah pilihan yang ada, jawapannya jelas: “Implan koklea.” Saya tidak terus setuju dengan ‘pilihan’ yang ditawarkan Prof. Asma, lagipun model implan koklea yang dicadangkan iaitu Cochlear Nucleus 7 baru sahaja dikeluarkan dan belum tiba di Malaysia.
Pada masa yang sama saya juga mencari maklumat jenis-jenis implan koklea dari syarikat yang berlainan, membuat perbandingan serta mencuba alat bantu dengar (Hearing Aid). Selain itu saya juga berusaha mendapatkan maklumat dari beberapa pengguna implan koklea melalui nama-nama yang diberikan oleh pihak klinik ENT.
Salah seorang pengguna implan koklea yang saya temui adalah Uzair (Mohd Uzair Mohd Rom) dan ibunya. Mendengar bagaimana teknologi ini mengubah hidup Uzair benar-benar menyentuh hati dan ianya menjadi salah satu pendorong terbesar untuk saya membuat keputusan bersetuju dengan ‘pilihan’ yang ditawarkan oleh Prof. Asma - melakukan pembedahan implan koklea.
Pembedahan saya dilakukan oleh Prof. Asma sendiri pada 23 Ogos 2019. Saya masih ingat lagi bagaimana saya mengalami vertigo sebaik sahaja sedar daripada bius, tetapi saya bernasib baik kerana tiada kesan sampingan lain yang serius. Implan saya diaktifkan kira-kira sebulan kemudian. Saya sempat mengikuti beberapa sesi pemetaan bunyi (mapping) bersama Cik Fatimah Sazari di HUKM pada akhir 2019 namun tidak dapat menjalani terapi pertuturan selepas itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 telah berkuatkuasa ketika pandemik Covid-19.
Kenangan ketika bertugas di sektor korporat.
Majikan saya ketika itu iaitu UMW Corporation amat memahami situasi selepas pembedahan yang memerlukan terapi pemulihan. Pihak majikan memberi sokongan penuh dengan memberi cuti pemulihan selama satu bulan. Sepanjang tempoh satu bulan tersebut saya dibenarkan bekerja dari rumah; satu langkah yang agak luar biasa ketika itu kerana konsep work from home (WFH) masih tidak popular sebelum pandemik Covid-19.
Ramai bertanya sama ada kehilangan pendengaran menjejaskan kerjaya saya. Jawapan saya, “tidak sama sekali”. Laluan kerjaya selepas memakai implan koklea terus berkembang maju di mana saya telah memegang beberapa jawatan penting korporat; sebagai Naib Presiden Organizational Development (Asahi Holdings Southeast Asia) dan Pengarah, OD & Employee Success (Payments Network Malaysia – PayNet). Dalam sesi temuduga, bakal majikan hanya berkata, “Kami tidak nampak sebarang masalah dengan CI, asalkan anda boleh melaksanakan kerja.” Kompetensi dan keupayaan saya tidak pernah dipersoalkan.
Mengendalikan salah satu bengkel berkaitan Inovasi dan Sumber Manusia.
Mengambil langkah proaktif membuatkan saya merasa “tiada sebarang kekurangan” apabila memakai implan koklea. Contohnya, saya akan hadir lebih awal ke mesyuarat untuk memilih tempat duduk yang sesuai agar dapat mendengar dengan jelas, dan saya sentiasa meneliti bahan mesyuarat terlebih dahulu supaya lebih mudah mengikuti perbincangan.
Saya terus kekal proaktif dengan membuat persediaan awal sebelum sesuatu mesyuarat/projek walaupun kini telah mempunyai syarikat perunding Pembangunan Sumber Manusia (HR) sendiri, People & Performance Solutions.
Aktif bersukan sejak remaja dan terus kekal aktif.
Memakai implan koklea di telinga kiri tidak menghalang saya daripada mengekalkan gaya hidup aktif sejak belajar di Maktab Tentera Diraja (RMC). Saya masih aktif berenang, berlari, mendaki serta bermain sukan gelanggang dan padang. Tidak dinafikan terdapat sedikit cabaran seperti kesukaran memakai cermin mata dan topi bersama implan koklea tetapi ianya bukan alasan tidak kekal aktif malah saya merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu tahun hadapan bersama rakan-rakan sekolah rendah.
Bagi mereka yang sedang mempertimbangkan untuk menjalani pembedahan seterusnya memakai implan koklea, nasihat saya mudah sahaja; “teruskan… kerana teknologi hari ini jauh lebih baik dan matang”. Maklumat berkaitan implan koklea juga lebih mudah diakses sama ada melalui dalam talian atau melalui komuniti seperti Persatuan Pengguna Implan Koklea Malaysia (PPIK) dan Hear Me, yang sentiasa menyokong pengguna implan koklea.
Bagi ibu bapa kepada anak-anak yang memakai implan koklea saya faham naluri untuk melindungi dan kebimbangan terhadap masa depan mereka. Ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak-anak istimewa ini menjalani kehidupan mereka sendiri. Biarkan mereka mencuba, berkawan, malah gagal sekalipun — kerana lebih baik belajar daripada kegagalan semasa muda daripada menyesal ketika dewasa bak kata pepatah, “If you try, you may fail. If you don’t try, you are guaranteed to fail.”
Kehilangan pendengaran bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi bagi seorang profesional korporat yang telah lama memimpin organisasi besar dan membentuk ramai pemimpin di pelbagai industri.
Kisah Adly membuktikan bahawa kehilangan pendengaran tidak semestinya menghadkan potensi seseorang. Hari ini, beliau terus aktif menyumbang kepada komuniti melalui PPIK di samping meneruskan kerjaya sebagai perunding dan jurulatih korporat. Perjalanan hidup beliau menunjukkan bahawa implan koklea bukan penamat, tetapi permulaan kepada kehidupan yang lebih bermakna, penuh harapan, berani serta memberi inspirasi.
Di luar kerjaya dan sukan, Adly juga aktif terlibat dalam kerja-kerja amal, seperti pendermaan darah dan aktiviti-aktiviti Persatuan Pengguna Implan Koklea.