Cerita dan tulisan oleh Dewi Sri Taib
Sesi switch on implan koklea turut dihadiri oleh wakil Cochelar dari Singapura
Tidak semua rezeki datang dalam bentuk dan jalan cerita yang diimpikan. Kadang kala kesedihan, kekecewaan dan kesakitan menjadi pintu hikmah kepada sebuah rezeki yang tidak terduga.
Berada di makmal sains sekolah merupakan waktu paling tidak saya gemari kerana kurang minat terhadap subjek tersebut. Kebiasaannya, saya hanya ke hulu hilir memerhatikan rakan-rakan membuat eksperimen.
Pada suatu hari, seperti biasa, saya bersedia untuk melihat eksperimen rakan-rakan. Namun sebaik sahaja melangkah ke meja sebelah, secara tiba-tiba telinga saya dirasakan seperti tersumbat dan tidak dapat mendengar apa-apa. Saya segera duduk di kerusi berdekatan, berasa panik dan terkejut, lalu hanya mampu mendiamkan diri.
Seorang rakan menyedari sesuatu yang tidak kena lalu datang mendekati saya dan bertanya apa yang telah berlaku. Saya hanya mampu menggelengkan kepala sambil menunjukkan tangan ke telinga sebagai isyarat tidak dapat mendengar. Rakan saya turut terkejut dan terus memaklumkan perkara tersebut kepada cikgu yang sedang mengajar. Cikgu kemudiannya serta-merta menghubungi ibu saya supaya saya dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ibu membawa saya ke klinik pakar Telinga, Hidung Dan Tekak (Ear, Nose, Throat - ENT) di Kuala Lumpur. Hasil diagnosis doktor mendapati terdapat jangkitan kuman di dalam saluran telinga akibat selsema yang berlarutan. Doktor telah memberikan antibiotik serta beberapa ubatan lain dan dengan izin Allah, pendengaran saya kembali pulih seperti biasa.
Ogos 1997 merupakan detik bersejarah apabila saya secara rasmi bergelar graduan Sarjana Muda Sastera (Pengajian Media) di Universiti Malaya. Ketika itu graduan dibenarkan meminjam jubah konvo selama satu minggu dan pada masa inilah terjadi sesuatu yang meragut momen indah bergelar graduan.
Gambar kenangan sebelum urusan pemulangan jubah
Insiden ‘makmal sekolah’ berulang di sini
Selesai urusan pemulangan jubah saya terus ke lobi Kompleks Perdanasiswa menunggu adik untuk pulang ke rumah. Saya hanya mundar mandir memerhati keadaan sekeliling sementara menunggu. Secara tidak semena-mena... tanpa sebarang isyarat, suasana serta merta terus bertukar menjadi senyap! Insiden di makmal sains sekolah secara spontan terpapar di layar minda. Ternyata insiden tersebut berulang semula.
Jangkitan kuman di dalam saluran telinga akibat selsema sekali lagi menjadi punca saya tidak dapat mendengar secara tiba-tiba. Pendengaran saya kembali pulih selepas menerima rawatan tetapi beberapa situasi ‘menghairankan’ kerap berlaku selepas itu. Saya hanya menyahut selepas dipanggil beberapa kali (dengan suara yang agak kuat), saya juga mula tidak dapat mendengar dengan jelas apabila seseorang bercakap dengan nada suara sederhana serta saya kerap kali terpaksa meminta sesuatu perkataan atau ayat diulang apabila berbual dengan seseorang.
Masalah pendengaran yang baru bermula, ditambah dengan masalah penglihatan yang sedia ada sejak kecil menjadi cabaran utama kehidupan selepas bergraduasi. Semua permohonan untuk mendapat pekerjaan tidak berjaya kerana calon majikan terlalu menekankan aspek ‘kurang nampak dan kurang dengar’ sehingga ragu dengan kebolehan yang ada pada diri ini. Akhirnya setelah setahun menganggur, ayah menyuruh saya menyambung pengajian di peringkat Sarjana.
Pada tahun 1998 saya mendaftar semula sebagai pelajar siswazah kerja kursus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya masih dibelenggu masalah pendengaran tetapi tidak berbuat apa-apa kerana merasa tiada keperluan serta tidak menghadapi sebarang masalah komunikasi dengan rakan dan pensyarah. Faktor ini disebabkan jadual kelas tidak padat serta bilangan pelajar program tidak ramai, sekitar 15 orang sahaja.
Hari pembentangan tesis (viva) adalah hari yang sangat menakutkan saya, bukan sahaja takut tidak dapat menjawab dengan lancar tetapi juga takut tidak dapat mendengar soalan yang diajukan panel penilai. Syukur sesi viva diadakan dalam sebuah bilik mesyuarat yang agak kecil dan memudahkan saya mendengar suara panel dengan agak jelas. Syukur juga sesi viva dapat saya harungi dengan jayanya.
Segala susah payah dan cabaran semasa pengajian akhirnya berakhir apabila pada tahun 2001 saya memperoleh Sarjana Persuratan Melayu (Kesusasteraan Melayu Moden) di UKM.
Konvokesyen Sarjana 2001 di UKM
Setahun selepas tamat pengajian sarjana, saya sekali lagi mengalami selsema yang berpanjangan. Kali ini saya terus mendapatkan rawatan di klinik ENT Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Doktor membuat pemeriksaan lebih teliti dan saya juga diarahkan membuat ujian pendengaran serta merta pada hari yang sama.
Hasil pemeriksaan mengesahkan pendengaran saya telah merosot dengan ketara dan disarankan memakai alat bantu pendengaran (ABP) pada kedua-dua belah telinga. Memakai ABP dirasakan umpama bertemu cahaya di hujung terowong. Nikmat pendengaran dapat saya kecapi semula. Memakai ABP menjadi ‘penyelamat’ di mana buat pertama kali, saya tidak perlu lagi meminta panel penemuduga mengulang soalan kerana tidak dapat mendengar dengan jelas.
Kehidupan saya mula tersusun dengan mendapat pekerjaan bertaraf kontrak di beberapa agensi kerajaan dan akhirnya mendapat pekerjaan tetap di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2006.
Telah memakai alat bantu pendengaran (ABP) sewaktu bertugas di sini
Saya telah ditempatkan di Fakulti Perubatan UKM, Cheras yang juga merupakan lokasi Hospital UKM (kini dikenali sebagai HCTM). Kelebihan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dengan sentiasa menjalani sesi pemantauan kesihatan termasuk sesi pemantauan tahap pendengaran di klinik audiologi.
13 tahun bertugas di Jabatan Perubatan Keluarga, FPer UKM
Suatu hari sekitar bulan Jun/Julai, saya mendapat panggilan telefon di pejabat. “Assalamualaikum…boleh saya bercakap dengan Puan Dewi Sri?“ “Panggilan daripada Pejabat Pengarah HUKM ni… Pengarah nak jumpa kat pejabat”. Saya cam suara Puan Azfa, Setiausaha Pengarah HUKM. Beliau kemudian memberikan butiran perjumpaan dan bermula detik itu perasaan saya menjadi tidak tentu arah. “Alamak… kenapa pulak Pengarah nak jumpa ni?” Sebagai staff, adalah sesuatu yang sangat mendebarkan apabila diminta datang ke Pejabat Pengarah.
Pada hari yang telah ditetapkan, saya ke Pejabat Pengarah HUKM iaitu Prof. Dato’ Dr. Lokman Saim. Setelah berbual ringan, Prof. memberi penerangan tentang keadaan semasa tahap pendengaran saya. Beliau memaklumkan saraf telinga saya terutama pada bahagian sebelah kanan menjadi semakin lemah dan ia boleh menjejaskan pendengaran di masa hadapan. Penggunaan ABP tidak banyak membantu kerana fungsinya hanya menguatkan bunyi pada kadar tertentu. Beliau turut menerangkan bahawa kaedah terbaik untuk merawat masalah pendengaran saya adalah dengan melakukan pembedahan implan koklea.
“Kita nak buat pembedahan implan koklea kat awak… nak tak?” Prof. Lokman terus straight to the point. “Semua free… Cochlear akan sponsor.” Tawaran tersebut bagaikan bulan jatuh ke riba kerana difahamkan kos pembedahan dan alat berjumlah RM80,000 ringgit, cukup untuk membeli sebuah kereta.
Perasaan saya bercampur baur, gembira kerana tidak perlu mengeluarkan sebarang kos perubatan tetapi seram bila mengingati yang ianya satu prosedur pembedahan. Setelah perbincangan berikutnya bersama keluarga saya dan Prof. Dato’ Lokman, maka pada 8 September 2009 saya telah menjalani pembedahan implan koklea pada telinga kanan. Telinga kiri saya kekal menggunakan ABP kerana tahap pendengaran masih stabil.
Keratan akhbar Utusan Malaysia & Berita Harian
Rupanya pembedahan implan koklea saya bukan biasa-biasa. Ini kerana pihak Cochlear telah memperkenalkan teknologi terbaru implan koklea jenis hibrid. Saya merupakan penerima pertama implan koklea tersebut di rantau Asia Pasifik. Sebelum ini Prof. Dato’ Lokman ada menyatakan saya terpilih untuk menjadi penerima kerana masalah utama pendengaran saya adalah sukar untuk mendengar bunyi frekuensi tinggi misalnya bunyi cerek apabila air mendidih. Kes seperti ini sesuai dengan teknologi hibrid yang diperkenalkan Cochlear.
Sehari selepas pembedahan, satu sidang media diadakan bagi memaklumkan kejayaan UKM khususnya Prof. Dato’ Dr. Lokman Saim kerana berjaya melakukan pembedahan untuk teknologi terbaru implan koklea seterusnya melakar sejarah kepakaran perubatan UKM setanding kepakaran universiti bertaraf dunia. Saya juga turut ditemuramah pihak media dan rakaman temuramah tersebut telah ditayangkan pada slot akhir Buletin Utama TV3 pada malam tersebut.
Implan koklea hibrid ialah gabungan implan koklea dan alat bantu pendengaran yang direka untuk individu yang masih mempunyai pendengaran frekuensi rendah tetapi mengalami kehilangan pendengaran frekuensi tinggi. Sistem ini berfungsi dengan menguatkan bunyi frekuensi rendah secara semula jadi melalui alat bantu pendengaran, manakala bunyi frekuensi tinggi ditukar kepada isyarat elektrik dan dihantar terus ke saraf pendengaran melalui elektrod dalam koklea. Otak kemudiannya menggabungkan kedua-dua isyarat ini untuk menghasilkan bunyi yang lebih jelas dan seimbang, sekaligus membantu meningkatkan kefahaman pertuturan serta kualiti pendengaran dalam kehidupan seharian.
Kenangan jamuan raya bersama sebahagian pensyarah dan staff Program Audiologi FSK, UKM
Pada tahun 2018, saya telah berpindah ke Fakulti Sains Kesihatan di UKM Kampus Kuala Lumpur. Mulanya saya menyangka akan ditempatkan di Jalan Raja Muda, bangunan utama kampus tetapi rupanya saya perlu bertugas di Jalan Temerloh (kawasan Tasik Titiwangsa) di bawah Program Audiologi dan Sains Pertuturan UKM.
Ternyata rezeki tidak pernah salah alamat. Pemantauan tahap pendengaran semakin mudah kerana klinik audiologi hanya terletak di belakang bangunan pejabat. Saya juga kerap menjadi ‘subjek’ kepada pelajar dan ‘subjek klinikal’ peperiksaan pelajar. Pada tahun 2021 saya telah dipindahkan ke Pejabat Dekan sebagai staff Sekretariat Siswazah FSK tetapi masih kekal sebagai pesakit di klinik audiologi FSK.
Bersama Team Sekretariat Siswazah FSK, UKM
Kini tahun ke-16 saya menggunakan implan koklea. Tidak dinafikan secara umumnya pemakaian implan koklea banyak membantu melancarkan proses pendengaran, komunikasi dan paling penting membantu saya menjalankan tugas di pejabat dengan baik. Bunyi frekuensi tinggi seperti nada dering telefon dan bunyi burung berkicau sudah boleh didengar dengan lebih jelas. Bunyi angin menderu kuat atau perlahan juga boleh dinikmati dengan nyata. Momen paling mengujakan sebagai pengguna implan koklea adalah dapat menikmati perbualan bersama orang lain dengan lancar walau terbatas atas beberapa faktor teknikal.
Lumrah ciptaan manusia, pemakaian implan koklea tetap ada cabaran tersendiri. Paling mencabar adalah kos pembelian alat ganti yang mahal kerana implan koklea adalah alat bantu pendengaran berteknologi tinggi. Contohnya, satu bateri boleh caj berharga RM1200.00 yang mana bateri perlu diganti sekurang-kurangnya 2 atau 3 tahun sekali. Alat ganti lain juga kadang kala perlu diganti apabila rosak seperti coil dan cable coil.
Menggunakan implan koklea dan ABP sebagai bantuan pendengaran bukan penghalang menikmati kehidupan normal. Kita sebagai pengguna hanya perlu membuat penyesuaian mengikut keupayaan bantuan teknologi tersebut.
Salah satu contoh adalah pengguna implan koklea tidak dapat mendengar dengan baik dalam keadaan bising seperti restoran, pasar dan kompleks beli belah. Penyesuaian boleh kita lakukan dengan mengelakkan pergi ke restoran yang terlalu ramai orang atau pergi ke tempat yang dijangka bising lebih awal misalnya pada waktu pagi.
Keluarga terdekat dan rakan rapat juga perlu peka dengan keupayaan pendengaran pengguna implan koklea. Mereka seharusnya tidak bercakap terlalu laju supaya kita sebagai pengguna implan koklea boleh mendengar dan faham apa yang sedang diperkatakan. Atas faktor inilah pentingnya program-program pendidikan dan kesedaran diadakan agar masyarakat lebih cakna dan peka terhadap keperluan pengguna implan koklea.
Berusaha bersama rakan-rakan PPIK memberi pendidikan dan advokasi supaya masyarakat awam lebih cakna terhadap pengguna implan koklea
Pengalaman paling mencabar sebagai pengguna implan koklea adalah semasa saya menunaikan ibadah haji pada tahun 2024 kerana musim haji pada tahun tersebut adalah musim panas.
Memakai implan koklea tidak membataskan perjalanan ibadah haji
Impan koklea dan ABP perlu sentiasa dibersihkan setiap hari kerana tempoh penggunaan yang terlalu lama dalam cuaca panas ekstrem. Telekung juga perlu diikat dengan kemas sebelum tawaf bagi mengelakkan implan koklea mudah tercabut. Jujur saya katakan memang sangat bimbang bila hendak tawaf kerana takut terhimpit jemaah yang bersaiz besar. Memandangkan saya ini rendah orangnya, banyak kali juga bahagian kepala dilanggar dah dihimpit oleh jemaah yang lebih tinggi. Selalunya saya cepat-cepat memegang telinga bagi memastikan alat tidak tercabut dan jatuh.
Semasa wukuf di Arafah, implan koklea dan ABP basah dengan peluh seperti terkena air hujan. Ianya kerana cuaca sangat terik dengan kepanasan 44°C padahal saya hanya berada selama setengah jam di luar khemah untuk berdoa. Semasa berada di Mina, saya tidak memakai ABP dan implan koklea pada kebanyakan waktu kerana cuaca terlalu panas dan penghawa dingin dalam khemah pula rosak.
Keadaan panas melampau tersebut membuatkan saya sangat tidak selesa mendengar berbagai jenis bunyi dalam khemah yang begitu sesak dengan jemaah. Saya hanya memakai ABP dan implan koklea sewaktu pergi melontar jamrah. Secara keseluruhannya, boleh dikatakan implan koklea memang tahan lasak dan saya sangat bersyukur dapat menyelesaikan semua ibadah haji tanpa masalah yang tidak diingini.
Ditawarkan menjalani pembedahan implan koklea serta mendapat tajaan penuh sememangnya rezeki yang tidak terduga buat saya. Bukan semua orang mendapat peluang keemasan sebegitu. Pesanan kepada mereka yang sedang atau bakal melalui perjalanan memakai implan koklea, percayalah bahawa ianya bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada episod kehidupan yang lebih bermakna. Mungkin anda juga akan menemui pintu hikmah yang membawa kepada sebuah rezeki yang tidak terduga.
Implan koklea bukan pengakhiran tetapi permulaan episod kehidupan yang lebih bermakna