Saya Yasmin Jamil, dilahirkan sebagai seorang pekak sejak bayi akibat jangkitan rubella yang dialami oleh ibu ketika mengandungkan saya. Sejak kecil, ibu bapa menyedari sesuatu yang berbeza pada diri saya. Mereka sering membawa saya berjumpa doktor kerana saya tidak memberikan sebarang respon mahupun bercakap walaupun sudah mencecah usia tiga tahun.
Ketika ibu saya melanjutkan pelajaran di United Kingdom, barulah saya mendapat diagnosis yang tepat di sana. Doktor mengesahkan saya mengalami kehilangan pendengaran yang sangat teruk pada kedua-dua belah telinga iaitu tahap pendengaran antara 60 - 81 desibel. (Tahap pendengaran bagi orang normal adalah pada skala 25 desibel). Oleh itu, pada usia 4 tahun, doktor telah menyarankan saya memakai alat bantu pendengaran. Alat bantu pendengaran tersebut sangat unik di mana sebuah bateri besar perlu diletakkan di dada. Saya suka menampal pelbagai jenis sticker (pelekat) pada bateri tersebut ketika zaman kanak-kanak.
Saya memakai alat bantu pendengaran selama 27 tahun sebelum mengambil keputusan untuk memakai implan koklea di telinga kiri. Ini kerana saya tidak aktif memakai alat bantu pendengaran sebelah kiri dan banyak bergantung kepada bacaan gerak bibir ketika berkomunikasi. Tahap pendengaran telinga sebelah kanan saya juga semakin merosot, menyebabkan ahli keluarga meluahkan kerisauan kerana saya semakin sukar mendengar.
Akhirnya, saya membuat keputusan besar dalam hidup – menjalani pembedahan cochlear implant (implan koklea) pada telinga kiri, sementara telinga kanan masih menggunakan hearing aid (alat bantu pendengaran). Saya memilih jenama implan koklea Medel Rondo 3 kerana reka bentuknya yang minimalis serta bateri yang boleh dicas semula dan bertahan selama 16 jam sepanjang hari. Saya juga tertarik dengan kelebihan fungsi direct streaming (penstriman secara terus) di mana bunyi muzik dihantar secara terus ke dalam implan seolah-olah saya sedang memakai headset.
Selepas saya menerima implan koklea, saya dapat merasakan perubahan yang sangat besar. Dulu, saya tidak boleh mendengar bunyi burung, kini saya boleh mendengar pelbagai jenis bunyi burung. Saya juga tidak sangka boleh mendengar bunyi gesekan tangan atas kertas. Bunyi tersebut begitu halus tetapi mampu diproses oleh implan koklea. Memakai implan koklea diibaratkan seperti terbuka satu lagi dunia bunyi yang saya tidak pernah dengar sebelum ini. Sejak daripada itu, pendengaran saya semakin bertambah baik, peka, dan boleh berkomunikasi seperti biasa. Pertuturan sebutan bunyi huruf S, R juga semakin jelas.
Sejak kecil, saya sangat bertuah kerana dikelilingi keluarga yang tidak pernah berputus asa dengan kekurangan saya. Ibu bapa saya bekerja keras memastikan saya mendapat bantuan pendengaran secukupnya agar saya boleh berdikari dan mendengar seperti orang lain. Saya amat berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa serta adik-beradik saya kerana sentiasa bersabar, memahami keadaan saya, dan terus memberi sokongan tanpa henti.
Di alam persekolahan dan juga ketika di universiti, saya juga dikelilingi sahabat-sahabat yang memahami cabaran saya. Mereka banyak membantu, terutama ketika saya berdepan kesukaran mengikuti pelajaran. Sokongan dan keprihatinan mereka membuatkan saya tidak pernah rasa keseorangan.
Kini, saya telah membina keluarga kecil sendiri bersama seorang suami yang sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua yang saya lakukan serta seorang anak yang berusia empat tahun. Saya akui, tanpa alat bantu pendengaran dan implan koklea, komunikasi bersama anak sedikit sebanyak menjadi sukar atas faktor salah faham dan tekanan kerana tidak dapat mendengar dengan baik. Namun, dengan adanya implan koklea dan alat bantu dengar, komunikasi saya bersama anak semakin lancar.
Sejak kecil lagi, saya sangat meminati dunia seni. Ibu sering menghantar saya ke kelas seni untuk mengisi masa lapang. Saya juga banyak didedahkan dengan animasi seperti Wallace and Gromit serta Pingu. Pada usia enam tahun, saya benar-benar jatuh cinta dengan komik Doraemon dan dari situlah minat saya terhadap dunia kreatif semakin berkembang.
Pada tahun 2012, saya berpeluang melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang animasi di University of the West of England, Bristol, United Kingdom, iaitu universiti yang sama tempat ibu saya pernah belajar dahulu. Sepanjang pengajian di sana, saya mendapat sokongan disability support berupa seorang notetaker yang menemani saya untuk mencatat isi pembelajaran di dalam kelas.
Pengalaman paling berharga saya di universiti ialah ketika menghasilkan filem animasi pendek bersama rakan, sebagai projek tahun akhir. Projek tersebut telah dipamerkan di OXO Tower, London, dan ia menjadi pencapaian membanggakan buat diri saya dan keluarga. Alhamdulillah, saya menamatkan pengajian dengan kejayaan gemilang – First Class Honours. (Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama).
Selepas menamatkan pengajian, saya memulakan kerjaya sebagai 3D artist. Kini, sudah lebih 10 tahun saya berada dalam industri animasi. Antara projek-projek besar yang saya terlibat ialah produksi Ejen Ali, bermula daripada musim pertama sehingga terbitnya filem kedua. Bagi saya, setiap projek animasi bukan sahaja menguji kemahiran teknikal, malah menjadi ruang untuk saya menyalurkan kreativiti, imaginasi, dan semangat seni yang saya pupuk sejak kecil.
Pada masa lapang saya suka melakukan aktiviti seni acrylic pouring painting dan 3D sculpting. Aktiviti ini bukan sekadar hobi, tapi juga terapi untuk saya meluahkan emosi, bermain dengan kreativiti dan menenangkan fikiran.
Akhir sekali, melihat kembali perjalanan saya yang penuh dengan cabaran kehidupan, saya rasa tanpa sokongan dan dorongan dari keluarga dan sahabat, saya mungkin tidak akan berada di tahap terbaik pada hari ini.
Beliau dengan alat bantu pendengarannya semasa kecil.
Beliau semasa menuntut pelajaran di University of the West of England, Bristol.
Beliau dengan keluarga.
Beliau dengan krew produksi siri animasi Ejen Ali.