Remaja adalah fasa yang penuh dengan cabaran. Menjadi pengguna implan koklea boleh menjadikannya lebih mencabar. Sesetengah pengguna implan koklea (CI) pernah menjadi mangsa buli di fasa ini. Pengguna implan koklea, Uzair (Mohd Uzair Mohd Rom), juga pernah mengalami situasi sedemikian. Hari ini, beliau bekerja sebagai Pengurus Projek Bersekutu (Associate Project Manager) di syarikat Cochlear di Kuala Lumpur - di mana beliau telah bekerja selama lapan tahun.
Uzair yang kini berumur 33 tahun agak lewat didiagnosis dengan kehilangan pendengaran. Ibu Uzair membawanya untuk mendapatkan diagnosis apabila mendapati bahawa beliau masih belum boleh bercakap atau mendengar dengan baik pada usia 4 tahun. Doktor pada waktu itu tersilap diagnosis dan menganggap beliau mengalami masalah pembelajaran bagi menjelaskan kelewatan perkembangannya.
Hanya pada usia 6 tahun Uzair disahkan mengalami kehilangan pendengaran yang teruk. Beliau mula menggunakan alat bantu dengar ketika itu. Namun ia tidak banyak membantu. Bantuan yang lebih berkesan hadir apabila beliau menerima implan koklea di telinga kanannya pada usia 11 tahun. Dua tahun lalu, pada tahun 2018, beliau menerima implan di telinga kirinya juga.
Uzair bersekolah di aliran perdana sepanjang tempoh persekolahannya. Ia bukanlah perjalanan yang mudah. Beliau sukar untuk mengikuti pelajaran di dalam kelas. Hanya apabila berusia 11 tahun barulah beliau dapat mendengar dengan lebih baik dan mula memahami pertuturan. Ketika itulah beliau mula mempelajari kosa kata, tatabahasa dan cara bertutur. Namun, alam persekolahan menengah juga tidak mudah buat Uzair. Keperluan pendengarannya dan pemproses pertuturan (speech processor) yang digunakannya sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan. Uzair bukan sahaja bergelut dalam pelajaran, malah turut mengalami kesukaran dalam membina persahabatan.
Uzair letih hidup dalam keadaan tertekan. Bersama-sama dengan tiga sahabat baiknya, beliau berusaha gigih pada tahun akhir program diploma untuk keluar daripada keadaan itu. Kehidupan mula berubah apabila beliau melanjutkan pelajaran ke universiti. Beliau mengambil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik & Elektronik di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), sebuah universiti swasta di Malaysia. Di sana, beliau bertemu dengan rakan-rakan dari negeri dan negara yang berlainan. Sokongan dan galakan berterusan daripada mereka membantu beliau keluar daripada rasa rendah diri.
“Saya takut perkara yang berlaku semasa sekolah rendah dan menengah akan berulang – takut mereka fikir saya pelik, takut saya tak dengar atau salah faham apa yang mereka cakap. Tapi rakan-rakan saya tak pernah berhenti bantu dan sentiasa mendorong saya untuk jadi lebih yakin dan banyak bergaul dengan orang lain,” kata Uzair.
Beliau mula belajar untuk menerima dirinya seadanya, dan tidak terlalu memikirkan kata-kata atau pandangan orang lain. Dulunya seorang yang pemalu dan canggung dalam kehidupan sosial, Uzair berubah menjadi seorang yang peramah dan dikenali dengan perangainya yang lucu serta senyuman lebar sepanjang tiga setengah tahun di universiti.
Uzair menjalani latihan industri di syarikat Cochlear di Kuala Lumpur, Malaysia semasa tahun akhir pengajiannya. Selepas tamat pengajian, beliau menyertai pasukan tersebut sebagai Jurutera Siswazah. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat kepada Jurutera Sokongan Pembaikan. Uzair telah bekerja di Cochlear sejak Mac 2017. Ia merupakan impian yang menjadi kenyataan buat Uzair. Beliau sentiasa berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup individu yang mengalami masalah pendengaran, terutamanya golongan muda.
Di sebalik perjalanan kerjayanya, Uzair turut mencapai impian peribadi apabila berkahwin dengan Noor Amira Binti Amran (Mira) pada tahun 2020. Mereka bertemu semasa menuntut di UNITEN. Dahulu, perkahwinan dirasakan sesuatu yang jauh dari jangkauan Uzair—malah semasa muda, dia pernah memberitahu keluarganya bahawa dia akan hidup bujang selama-lamanya kerana meragui jika ada sesiapa yang ingin berkahwin dengannya. Namun hari ini, Uzair hidup bahagia bersama Mira dan merupakan bapa kepada seorang anak perempuan berusia tiga tahun yang ceria, Dahlia.
Uzair kini berada di landasan yang betul untuk membuktikan bahawa masalah pendengaran tidak akan menghalangnya daripada menjalani kehidupan yang bermakna. “Kejayaan kita adalah jawapan terbaik terhadap stereotaip dan prejudis terhadap individu yang mengalami masalah pendengaran,” kata Uzair.
Beliau dikenali dengan perangainya yang lucu serta senyuman lebar.
Beliau bersama dengan isteri dan anak perempuan, Dahlia.
Beliau bersama dengan tiga orang adik-beradiknya.