Cerita dan tulisan oleh Tee Le Peng.
Berjaya menamatkan pengajian universiti di SUNY Plattsburgh pada tahun 2019
Perjalanan implan koklea saya bermula pada tahun 1997 ketika berusia dua tahun. Bunyi bising atau gangguan yang biasanya mengejutkan atau membangunkan bayi lain langsung tidak memberi kesan kepada saya. Saya boleh tidur lena sepanjang malam, termasuk ketika sambutan Tahun Baharu Cina yang memang dipenuhi dengan bunyi mercun yang kuat dan berterusan.
Pada mulanya, ibu bapa saya menyangka saya hanyalah seorang anak yang mudah dijaga. Namun, apabila situasi ini berulang kali berlaku, mereka mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Akhirnya, mereka membawa saya menjalani saringan pendengaran dan ianya mengesahkan kebimbangan mereka selama ini. Hasil diagnosis saringan mendapati saya mengalami kehilangan pendengaran teruk di kedua-dua belah telinga.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila doktor menasihati ibu bapa saya agar bersedia menerima kenyataan bahawa saya mungkin tidak akan dapat bertutur.
Ketika berusia 2 tahun
Ibu saya tidak pernah benar-benar menerima hakikat itu. Bertahun-tahun kemudian, ketika kami mengenang kembali perjalanan ini, beliau memberitahu, “Ibu cuma mahu kamu boleh mendengar dan bercakap seperti orang lain.”
Pada penghujung 1990-an, maklumat belum mudah diakses seperti hari ini. Internet masih belum lazim dan maju. Oleh itu, ibu bapa saya bergantung kepada kajian di perpustakaan serta perbincangan dengan individu lain yang mempunyai kehilangan pendengaran untuk mencari pilihan rawatan yang ada.
Ibu bapa saya tekad meneroka setiap peluang rawatan, sanggup melakukan apa sahaja, termasuk merentasi negara, agar tiada satu pun ruang harapan terlepas. Walaupun keluarga kami bukan daripada golongan berada, ibu bapa saya membuat keputusan yang sangat besar dengan menggadaikan harta benda untuk membiayai perjalanan ke Amerika Syarikat bagi menyertai bengkel sokongan ibu bapa yang mempunyai anak-anak dengan masalah pendengaran di John Tracy Clinic, Los Angeles.
Gambar sewaktu menyertai bengkel sesi musim panas antarabangsa di John Tracy Clinic, Los Angeles, 1997
Pada musim panas 1997, ibu bapa saya, kakak saya, saya sendiri dan ibu saudara saya berangkat ke Los Angeles. Di situlah buat pertama kali ibu bapa saya mengetahui tentang implan koklea. Lebih melegakan, mereka juga dimaklumkan bahawa pembedahan implan koklea sebenarnya sudah dilakukan di Malaysia.
Dengan penuh rasa optimis, kami pulang ke tanah air dan mula mengatur rancangan untuk pembedahan implan koklea secepat mungkin. Ibu bapa saya telah bertemu dengan Prof. Lokman Saim di HUKM untuk prosedur selanjutnya dan pada akhir tahun 1997 ketika berusia dua setengah tahun, saya akhirnya menjalani pembedahan implan koklea pada telinga kanan.
Keupayaan mendengar merupakan satu anugerah yang besar dan halangan pertama yang berjaya diatasi melalui pembedahan implan koklea. Matlamat seterusnya yang lebih besar ialah untuk belajar bertutur dan menjalani kehidupan seperti individu lain.
Selepas peranti saya diaktifkan, saya menjalani sesi terapi pertuturan secara intensif selama enam bulan. Berkat persediaan yang intensif ini, saya berjaya memasuki sekolah rendah aliran Cina. Saya juga aktif dalam pertandingan syarahan. Seterusnya, saya melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah persendirian Cina dan mampu mengikuti cabaran akademik yang ada.
Aktif menyertai pertandingan bercerita semasa di sekolah rendah
Saya menamatkan pendidikan menengah dengan keputusan cemerlang, memperoleh semua A dalam peperiksaan Unified Examination Certificate (UEC). Keputusan ini melayakkan saya menerima biasiswa dan tawaran melanjutkan pelajaran ke Hong Kong University of Science and Technology (HKUST).
Di Taiwan pada tahun 2011 dalam satu rombongan sekolah
Namun, di sebalik pencapaian tersebut, saya berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan cabaran akademik dan persekitaran di HKUST, lalu terpaksa menarik diri daripada pengajian. Pada tahun 2016, saya memulakan semula perjalanan universiti melalui American Degree Program (ADP) di Taylor’s University sebelum ke State University of New York (SUNY) di Plattsburgh.
Pada tahun 2019, saya berjaya menamatkan pengajian di SUNY Plattsburgh dengan Kepujian Kelas Pertama, dalam jurusan Sosiologi dan minor dalam Kewartawanan.
Selepas pengalaman di HKUST, saya mula menemui kekuatan diri dan menikmati pengalaman pelajaran yang lebih baik di Taylor’s University dan SUNY Plattsburgh. Namun, di sebalik pencapaian luaran tersebut, saya masih bergelut dengan rasa rendah diri yang berpanjangan.
Bersama-sama pelajar-pelajar dari Malaysia di SUNY Plattsburgh
Di SUNY Plattsburgh, saya akhirnya tersedar bahawa sudah tiba masanya untuk menerima sepenuhnya identiti yang selama ini saya cuba sembunyikan iaitu identiti sebagai pengguna implan koklea.
Saya mula mengatur langkah dengan mencari maklumat berkenaan pengguna implan koklea lain. Ini kerana sepanjang perjalanan hidup, saya kurang berhubung dengan komuniti pengguna implan koklea. Saya mencari forum, kumpulan Facebook dan halaman Instagram di mana pengguna-pengguna implan koklea berkongsi pengalaman mereka. Dari situ, saya menyedari bahawa ramai pengguna implan koklea lain mengalami pergelutan rasa yang saya lalui untuk menerima identiti diri mereka.
Pada semester terakhir pengajian pada tahun 2019, saya membina satu blog bagi mengetengahkan suara pengguna implan koklea. Saya menghubungi pengguna implan koklea dari pelbagai negara untuk mendengar kisah perjuangan dan kejayaan mereka. Inisiatif ini saya namakan CI Project. Saya menjalankan temu bual dan menulis cerita sambil mengimbangi tugasan dan pembelajaran akademik. Cerita mereka telah saya terbitkan di blog CI Project.
Berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang membuka mata saya bahawa, tanpa mengira kewarganegaraan atau budaya, pengalaman kami sebagai pengguna implan koklea tetap seiring dan saling berkait. Kesedaran ini membangkitkan keyakinan dalam diri serta mendorong saya untuk terus menggerakkan inisiatif ini selepas tamat pengajian universiti.
Selepas menamatkan pengajian, saya masih aktif menemu bual pengguna implan koklea di samping bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran Digital (Digital Marketing Executive). Pada awal tahun 2021, saya berjaya menerbitkan 23 cerita pengguna implan koklea yang melibatkan individu dari sembilan buah negara dalam bentuk buku PDF secara percuma di laman sesawang.
Kini, saya berkhidmat sebagai Penganalisis Penyelidikan Pasaran (Market Research Analyst) di sebuah syarikat yang menawarkan sistem tempat jualan (point-of-sale system). Pada masa yang sama, saya turut aktif dalam komuniti implan koklea tempatan, termasuk bersama Persatuan Pengguna Implan Koklea Malaysia. Pengalaman profesional dan keterlibatan komuniti ini saling melengkapi, sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk saya terus menyumbang kepada masyarakat.
Sebagai pengguna implan koklea, perjalanan saya masih panjang dan penuh ruang untuk diterokai. Namun saya yakin, kekuatan sebenar tidak terletak pada usaha individu semata-mata, tetapi pada kesediaan kita untuk bergerak sebagai sebuah komuniti yang saling menyokong, memperkasa dan mempertahankan hak serta kepentingan bersama.