(Kanak-kanak pertama di Malaysia untuk dapat implan koklea)
Lee Chye Hwee adalah kanak-kanak pekak pertama yang menerima pamasangan implan koklea dan kini bekerja sebagai pembangun perisian (software engineer) di DKSH, sebuah syarikat antarabangsa di bidang pengembangan pasaran. Beliau mempunyai pengalaman bekerja selama 14 tahun. Sekali pandang, beliau sama seperti insan normal lain kerana beliau mampu berdikari kerana mempunyai pekerjaan dan keadaan ekonomi yang stabil yang merupakan gambaran impian ramai ibu bapa kepada calon penerima implan koklea. Mari kita ikuti perjalanan beliau!
Dilahirkan dengan pendengaran normal, kehidupan Chye Hwee berubah secara drastik pada usia tujuh tahun. Pada tahu itu, beliau mengalami demam panas yang menyebabkan kehilangan pendengaran yang teruk pada telinga kanannya. Walaupun begitu, beliau masih boleh bergantung pada telinga kirinya—sehinggalah satu lagi peristiwa berlaku semasa beliau berumur lapan tahun. Seorang guru memukul kepalanya, menyebabkan kehilangan pendengaran sepenuhnya.
Selepas diagnosis tersebut, ibu bapa Chye Hwee diperkenalkan kepada teknologi implan koklea. Namun, kosnya yang mencecah RM48,000 (anggaran USD 10,700) jauh di luar kemampuan keluarga. Ayahnya bekerja sebagai pengusaha bas sekolah, manakala ibunya juga mengambil kerja sambilan sebagai pengusaha bas sekolah. Mereka turut perlu menampung tiga orang anak yang lebih kecil.
Tanpa disangka, guru besar sekolah, para guru dan rakan sekelas menunjukkan sokongan penuh kepada keluarga ini. Akhirnya, sepasang suami isteri yang tidak dikenali tampil menyumbang sepenuhnya kos pembedahan tersebut. Walaupun kejadian ini berlaku bertahun-tahun lalu, Chye Hwee masih sangat menghargai kebaikan hati yang telah mengubah hidupnya itu.
Selepas menerima implan, Chye Hwee menyifatkan perjalanannya sebagai agak biasa. Selain perlu duduk di barisan hadapan untuk mendengar guru dengan lebih jelas, beliau sama seperti rakan-rakannya. Pada tahun 2010, beliau menamatkan pengajian di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dalam jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Maklumat (Kepujian), dan memulakan kerjayanya dalam bidang pembangunan perisian.
Chye Hwee mengakui bahawa interaksi sosial dalam kumpulan masih mencabarkan bagi beliau. Namun, beliau mempunyai sekumpulan rakan yang rapat dan meluangkan masa bersama mereka pada waktu lapang. Beliau berasa selesa dan bersyukur dengan kehidupannya kini.
Bagi generasi baru pengguna implan koklea, Chye Hwee menekankan kepentingan sokongan keluarga. Beliau percaya bahawa kesabaran dan galakan berterusan daripada ibu bapanya amat penting dalam kemajuannya. Beliau juga berterima kasih kepada ibu bapanya yang banyak membantu membentuk sifat berdikari dalam dirinya. Ibu bapanya melayan beliau sama seperti adik-beradik lain yang boleh mendengar dan menggalakkan beliau mengambil kerja sambilan dan memilih program universiti sendiri.
Adik perempuannya memainkan peranan yang sangat penting kerana telah membantu beliau dengan sebutan pertuturan dan membetulkan beliau secara lembut apabila perlu. Ketika makan bersama keluarga, adiknya akan memastikan beliau tidak ketinggalan dalam perbualan. Ini mungkin kelihatan aksi yang remeh tetapi aksi kecil ini telah bantu membentuk Chye Hwee menjadi seorang yang yakin dan berdikari.
“Perjalanan setiap anak adalah unik, dan tiada seorang pun harus dibandingkan dengan yang lain,” kata Chye Hwee. Walaupun ibu bapa sememangnya berharap melihat hasil, beliau menasihati mereka agar sabar dalam proses itu dan menyokong anak mereka di setiap langkah.
Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, beliau semakin aktif dalam komuniti implan koklea di Malaysia. Beliau berhubung dengan pengguna lain dan meningkatkan kesedaran tentang teknologi ini. Usaha advokasinya termasuk dua penampilan di televisyen, salah satunya boleh ditonton di sini.
Beliau dengan alat implan kokleanya semasa kecil.
Beliau dengan keluarganya semasa kecil.
Beliau di konvokasi Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Beliau mengambil bahagian dalam acara maraton pada masa lapangnya.
Sokongan daripada keluarga memainkan peranan penting dalam kejayaan beliau.