Kurang pendengaran ialah keadaan apabila seseorang tidak dapat mendengar bunyi dengan jelas atau sepenuhnya berbanding pendengaran normal. Masalah ini boleh berlaku pada satu telinga atau kedua-duanya, dengan tahap yang berbeza – daripada ringan, sederhana, teruk sehingga pekak menyeluruh.
Konduktif – Masalah pada telinga luar/tengah, contohnya jangkitan atau sumbatan.
Sensorineural – Kerosakan pada telinga dalam atau saraf pendengaran, biasanya kekal.
Campuran – Gabungan konduktif dan sensorineural.
(Cleveland Clinic, 2023).
Faktor genetik/keturunan
Proses penuaan
Pendedahan kepada bunyi bising
Jangkitan telinga atau penyakit tertentu (contoh: meningitis)
Kecederaan kepala atau telinga
Kesan ubat tertentu
(Cleveland Clinic, 2023).
Sering meminta orang mengulang percakapan/perkataan
Sukar memahami perbualan dalam suasana bising.
Perlu menaikkan bunyi suara televisyen atau telefon lebih kuat daripada biasa.
Tidak sedar bunyi telefon atau loceng berbunyi.
(Cleveland Clinic, 2023).
Kurang pendengaran boleh menjejaskan komunikasi, hubungan sosial, keyakinan diri, prestasi kerja/sekolah, serta kesihatan mental.
Kanak-kanak dengan masalah pendengaran mungkin menghadapi kesukaran dari segi perkembangan pertuturan dan bahasa berbanding rakan sebaya mereka yang mempunyai pendengaran normal. Hal ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.
Masalah pendengaran juga boleh menjejaskan kualiti hidup di kalangan orang dewasa yang kehilangan pendengaran pada usia lanjut. Pengalaman sosial mereka turut terjejas disebabkan kesukaran untuk mendengar dan berinteraksi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.
Kajian juga menunjukkan adanya kaitan antara kehilangan pendengaran pada usia lanjut dengan demensia.
(Cleveland Clinic, 2023).
Kehilangan pendengaran konduktif
Ubat-ubatan, seperti antibiotik, untuk merawat jangkitan telinga.
Pembedahan, termasuk timpanoplasti (tympanoplasty) untuk membaiki gegendang telinga yang pecah, timpanostomi (tympanostomy) untuk memasukkan tiub telinga, pembedahan untuk membuang tumor dan lain-lain.
Prosedur untuk membuang tahi telinga atau objek lain di dalam saluran telinga.
Kehilangan pendengaran sensorineural
Ubat-ubatan, seperti kortikosteroid (corticosteroids), untuk mengurangkan bengkak pada sel rerambut koklea. (Sel rerambut koklea boleh rosak jika anda terdedah kepada bunyi yang terlalu kuat.)
Penggunaan alat bantu pendengaran dan implan koklea.
Kehilangan pendengaran campuran
Rawatan berbeza mengikut masalah khusus yang menjejaskan telinga luar, tengah, dan dalam.
(Cleveland Clinic, 2023).
*Penting: Sila rujuk kepada pengamal perubatan am atau pakar ENT sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pendengaran anda atau untuk mendapatkan panduan mengenai keadaan pendengaran anda.
Jika anda atau orang sekeliling mengalami simptom-simptom kehilangan pendengaran, langkah terbaik adalah bertindak awal. Berikut ialah panduan ringkas yang boleh anda ikut:
Dapatkan pemeriksaan awal
Jumpa doktor (contohnya, doktor keluarga atau pakar telinga, hidung, tekak/ENT).
Mereka akan memeriksa sama ada kehilangan pendengaran berpunca daripada masalah mudah (contoh: sumbatan tahi telinga, jangkitan).
Rujukan kepada audiologis
Jika perlu, anda akan dirujuk kepada pakar audiologi untuk menjalankan ujian pendengaran yang lebih spesifik.
Audiologis akan menilai tahap dan jenis kehilangan pendengaran anda (konduktif, sensorineural, atau campuran).
Ikut cadangan rawatan
Masalah mudah seperti jangkitan telinga atau tahi telinga biasanya boleh dirawat dengan ubat atau prosedur mudah.
Untuk kehilangan pendengaran kekal, rawatan mungkin melibatkan alat bantu pendengaran atau implan koklea (bagi kes teruk).
Terapi pertuturan dan rehabilitasi mungkin disarankan, terutama bagi kanak-kanak.
(National Institute on Deafness and Other Communication Disorders, 2024).
Artikel ini telah disemak oleh Cik Siti Aisyah Ahmad, Clinical Sales Specialist, Cochlear Malaysia.
Cleveland Clinic. (2023, August 24). Hearing Loss. Retrieved September 12, 2025, from https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17673-hearing-loss
National Institute on Deafness and Other Communication Disorders. (2024, October 24). Who Can I Turn to for Help with My Hearing Loss? National Institutes of Health. Retrieved September 12, 2025, from https://www.nidcd.nih.gov/health/who-can-i-turn-help-my-hearing-loss