Disediakan oleh Le Peng Tee.
Dalam artikel terdahulu, kita telah membincangkan topik jenis-jenis kurang pendengaran. Kita juga telah maklum bukan semua masalah pendengaran adalah sama. Oleh itu, penyelesaian yang digunakan untuk membantu individu yang mengalami masalah kurang pendengaran juga berbeza mengikut tahap dan jenis keadaan yang dialami.
Dua teknologi utama yang digunakan untuk membantu individu yang mengalami masalah kurang pendengaran ialah alat bantu pendengaran dan implan koklea. Kedua-dua alat ini bertujuan meningkatkan keupayaan seseorang untuk mendengar namun cara teknologi ini berfungsi serta golongan yang sesuai menggunakannya adalah berbeza.
Satu cara mudah untuk memahami perbezaan antara alat bantu pendengaran dan implan koklea adalah dengan membandingkannya dengan masalah penglihatan.
Seseorang yang rabun jauh boleh mendapatkan semula penglihatan yang jelas dengan memakai cermin mata tetapi cermin mata tidak dapat memulihkan penglihatan seseorang yang buta sepenuhnya, walaupun menggunakan kuasa lens paling tinggi.
Senario yang sama juga berlaku dengan mereka yang mempunyai masalah pendengaran. Alat bantu pendengaran boleh membantu individu yang masih mempunyai baki pendengaran yang mencukupi untuk memproses bunyi yang dikuatkan namun, teknologi ini mungkin tidak berkesan bagi mereka yang mengalami tahap pendengaran teruk hingga sangat teruk.
Untuk memahami perbezaan antara kedua-dua teknologi ini dengan lebih jelas, mari kita bandingkan alat bantu pendengaran dan implan koklea dari beberapa aspek utama.
Alat bantu pendengaran berfungsi menguatkan bunyi yang masuk ke dalam telinga. Mikrofon pada peranti ini menangkap bunyi dari persekitaran dan menukarkannya kepada isyarat digital. Isyarat tersebut kemudian diproses dan dikuatkan sebelum dihantar ke dalam telinga melalui pembesar suara kecil (Johns Hopkins Medicine, n.d.).
Alat bantu pendengaran menggunakan laluan pendengaran semula jadi telinga. Oleh itu, telinga dalam masih perlu berfungsi dengan baik untuk memproses bunyi yang dikuatkan.
Implan koklea pula berfungsi secara berbeza. Peranti ini direka untuk menggantikan fungsi bahagian telinga dalam yang rosak, iaitu sel rerambut sensori di dalam koklea yang berperanan menukarkan bunyi kepada isyarat elektrik. Implan koklea tidak hanya menguatkan bunyi, tetapi menukarkan bunyi kepada isyarat elektrik dan menghantar terus isyarat tersebut ke saraf pendengaran. Saraf pendengaran kemudian membawa isyarat elektrik tersebut ke otak untuk dikenal pasti sebagai bunyi.(Mayo Clinic, 2025).
Alat bantu pendengaran biasanya sesuai untuk individu yang mengalami masalah tahap pendengaran ringan hingga sederhana. Bagi golongan ini, menguatkan bunyi selalunya mencukupi untuk meningkatkan keupayaan mendengar dan komunikasi harian mereka (Hearing Aid UK, 2022).
Implan koklea pula direka untuk individu yang mengalami masalah tahap pendengaran teruk hingga sangat teruk serta tidak memperoleh manfaat yang mencukupi daripada penggunaan alat bantu pendengaran. Dalam keadaan ini, menguatkan bunyi sahaja tidak memadai kerana telinga dalam tidak lagi dapat memproses bunyi dengan berkesan (Hearing Aid UK, 2022).
Alat bantu pendengaran ialah peranti luaran yang boleh dipasang dan disesuaikan oleh ahli audiologi tanpa memerlukan pembedahan. Pengguna boleh mula memakai alat ini sebaik sahaja proses pemasangan dan pelarasan selesai (DeBlecourt, 2022).
Implan koklea pula terdiri daripada dua komponen utama, iaitu implan dalaman dan pemproses pertuturan luaran. Implan dalaman dipasang melalui pembedahan di bawah kulit di belakang telinga, manakala pemproses pertuturan dipakai pada bahagian luar telinga.
Implan koklea akan diaktifkan melalui proses "switch-on", biasanya antara dua hingga empat minggu selepas pembedahan seterusnya memulakan perjalanan pendengaran pengguna dengan peranti tersebut. (Mayo Clinic, 2025).
Kos alat bantu pendengaran berbeza mengikut teknologi dan ciri yang ditawarkan. Model asas biasanya bermula sekitar RM2,000, manakala model premium boleh mencecah hampir RM20,000.
Implan koklea pula melibatkan kos yang jauh lebih tinggi, lazimnya antara RM85,000 hingga RM90,000 (Budiman, 2025). Kos ini merangkumi prosedur pembedahan, implan dalaman dan pemproses pertuturan luaran.
Alat bantu pendengaran menguatkan bunyi yang diterima melalui laluan pendengaran semula jadi telinga. Keadaan ini menjadikan pengalaman mendengar lazimnya terasa lebih semula jadi.
(University of California San Francisco EARS, n.d.).
Pengalaman mendengar menggunakan implan koklea pada peringkat awal mungkin terasa agak berbeza. Peranti ini menggunakan rangsangan elektrik, bukannya penghantaran bunyi secara semula jadi. Disebabkan itu, bunyi yang didengar pada peringkat permulaan mungkin kedengaran seperti bunyi robotik atau kurang semula jadi.
Dari masa ke semasa, otak akan belajar mentafsir isyarat elektrik tersebut sebagai pertuturan dan bunyi persekitaran yang mempunyai makna. Apabila proses penyesuaian ini berlaku, ramai pengguna implan koklea mendapati pengalaman mendengar mereka menjadi semakin semula jadi dan memberi keselesaan mendengar menggunakan implan koklea.
(University of California San Francisco EARS, n.d.).
Alat bantu pendengaran dan implan koklea berfungsi dengan cara yang berbeza namun kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu membantu individu yang mengalami masalah pendengaran untuk kembali berhubung dengan dunia bunyi.
Teknologi pendengaran terus berkembang dengan pesat. Kemajuan dalam pemprosesan bunyi, sambungan digital dan reka bentuk peranti menjadikan pengalaman mendengar melalui teknologi bantuan semakin hampir kepada sifat pendengaran secara semula jadi.
Bantuan mendengar melalui alat bantu pendengaran atau implan koklea membolehkan semakin ramai individu dengan masalah pendengaran berkomunikasi, berinteraksi dan menjalani kehidupan harian dengan lebih yakin.
Budiman, Y. (2025, October 2). Prof. Dr. Tang Ing Ping: Pioneering Hearing Innovation from Sarawak to the World. Retrieved from https://gazette.unimas.my/2025/10/02/prof-dr-tang-ing-ping-pioneering-hearing-innovation-from-sarawak-to-the-world/
DeBlecourt, M. (2022, June 20). Hearing aids vs. cochlear implants. Retrieved from https://www.dukehealth.org/blog/hearing-aids-vs-cochlear-implants
Hearing Aid UK. (2022, December 28). Hearing aids vs cochlear implants - Are hearing aids better than cochlear implants? What is the difference? Retrieved from https://www.hearingaid.org.uk/hearing-loss-awareness/hearing-aids-vs-cochlear-implants
John Hopkins Medicine. (n.d.). How do hearing aids work? Retrieved from https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/hearing-loss/how-do-hearing-aids-work
Mayo Clinic. (2025, June 27). Cochlear implants. Retrieved from https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/cochlear-implants/about/pac-20385021
University of California San Francisco EARS. (n.d.). Hearing aids vs cochlear implants. Retrieved from https://ears.ucsf.edu/en/devices/hearing-aids-vs-cochlear-implants